Selasa, 12 Agustus 2014
Kenyataan Akhbar Kem Pendidikan Malaysia

PUTRAJAYA – Kerajaan memandang serius situasi pergolakan di Mesir yang semakin meruncing dan bertambah buruk dengan rusuhan yang telah merebak ke bandar-bandar lain selain Kaherah dan Iskandariah.
Kita bimbang keadaan akan jadi lebih meruncing dalam jangka masa terdekat.
Merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia di mana kerajaan akan membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di Mesir, maka Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan tegasnya meminta agar semua pelajar-pelajar baharu tidak pergi dan pelajar yang sedang bercuti semester untuk tidak kembali ke Mesir atas dasar keselamatan masing-masing.
Maklumat yang telah diperolehi menunjukkan terdapat agen-agen swasta yang masih menghantar pelajar-pelajar baharu ke Mesir walaupun telah diperingatkan. Ini amat mendukacitakan kerana tindakan agen swasta ini jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar-pelajar tersebut.
Ditegaskan di sini bahawa proses kemasukan bagi pelajar Malaysia ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Mesir bagi sesi 2013/2014 telah ditangguhkan dan ini bermakna tiada kemasukan pelajar Malaysia yang baharu di Mesir untuk sesi September 2013.
Justeru itu, ibu bapa dipohon untuk tidak membenarkan anak-anak mereka untuk pergi ke Mesir atas dasar keselamatan. Dimaklumkan bahawa, semua urusan kemasukan pelajar ke IPT di Mesir diuruskan sepenuhnya oleh KPM. Kementerian Pengajian Tinggi Mesir hanya akan menerima pelajar yang diperakukan oleh KPM melalui Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
KPM amat prihatin dengan kebimbangan pelajar dan ibu bapa berhubung masa depan pengajian mereka. Ingin dinyatakan bahawa KPM sedang berusaha dengan IPT dalam dan luar negara sebagai alternatif untuk pelajar-pelajar menyambung pengajian mereka sekiranya keadaan di Mesir tidak membolehkan mereka meneruskan pengajian di sana.
SUMBER: KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
- BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar