Kamis, 13 Februari 2014

Upin dan Ipin angkat jenama Malaysia di persada dunia


JUMAAT, 30 MAC 2012

Siri animasi Upin dan Ipin angkat jenama Malaysia di persada dunia




KUALA LUMPUR - Teater kanak-kanak Upin dan Ipin the Musical diharap dapat mengangkat jenama Malaysia ke persada dunia, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis DCruz.

Maglin berkata ini kerana siri animasi itu yang telah menjadi ikon negara dengan membawa nama, budaya, bangsa dan cerita tentang rakyat Malaysia, kini semakin diterima baik di luar negara termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Di dalam Upin dan Ipin diketengahkan watak-watak rakyat Malaysia seperti Opah, Kak Ros, Ehsan, Jarjit, Mei-Mei, Susanti dan Rajoo. Maka jenama ini harus terus dipelihara dan disebar luaskan lagi ke seluruh dunia," katanya ketika berucap pada majlis pengenalan teater muzikal Upin dan Ipin di Istana Budaya, di sini, hari ini.

Teater muzikal arahan Zaifri Husin akan mula dipentaskan pada 14 April hingga 6 Mei ini selama 23 hari melibatkan 30 persembahan oleh pelakon-pelakon berusia antara 9 dan 39 tahun.

"Saya percaya ini adalah rekod baru dalam dunia teater, bukan sahaja di Istana Budaya malah sejarah negara," kata Maglin yang turut memuji keberanian Les Copaque Production Sdn Bhd and CTRA Production untuk menerbitkan teater berkenaan.

Maglin berkata kementerian melalui Istana Budaya akan sentiasa membantu penerbit, aktivis, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta dalam memartabatkan seni teater di negara ini.

"Dengan bantuan yang dihulurkan seperti kemudahan tempat pementasan, sudah pasti akan memberi peluang kepada jenama Malaysia untuk mencipta sesuatu yang memberi nilai positif kepada masyarakat," katanya.

Beliau turut berharap teater muzikal berbahasa Inggeris itu akan meninjau peluang ke pasaran luar seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun dan negara lain.

Tiket berharga RM36, RM56, RM86, RM106, RM206, RM256, RM356 dan RM456 boleh dibeli di kaunter tiket Istana Budaya atau melalui internet dengan melayari www.ticket2u.biz.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar